-->

Monday 28 May 2012

Jom Tadabbur Sekejap . . :) > Surah As-Sajadah



AS-SAJADAH



1)      Alif Lam Mim . . .

2)      Diturunkan Al-Quran ini, dengan tiada sebarang syak padanya, daripada Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.

3)      (Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: “Dialah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya.”

(
Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya Engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum(mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.

4)      Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arsy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain Allah. Oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredhaanNya)?

5)      Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi, kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku daripada pelaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah)  banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.

6)      Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani.

7)      Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya; dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah.

8)      Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu daripada sejenis pati, iaitu daripada air (benih) yang sedikit dipandang orang.

9)      Kemudian Ia menyempurnakan kejadianNya dan meniupkan padanya roh ciptaanNya, dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur) tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur.

10)  Dan mereka (yang kafir) itu berkata: “Adakah apabila kami telah hilang lenyap di dalam tanah, kami akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baru? Benarkah demikian?” (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.

11)   Katakanlah (wahai Muhammad) : “Nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika tiba ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan).”

12)  Dan (sungguh ngeri) sekiranya Engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kam ingkari dahulu), maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; Sesungguhnya sekarang kami telah yakin.”

13)   Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Ta’ala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada setiap orang dengan ketiadaan usaha daripada masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjukNya (sebelum masing-masing meninggal dunia supaya tidak terkena azab di akhirat). Tetapi telah tetap hukuman seksa daripadaKu. Demi sesungguhnya aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh).”

14)  (lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian mereka) Maka rasalah azab seksa kerana kamu melupakan pertemuan kamu hari ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi, dan (dengan demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu kerjakan.”

15)  Sesungguhnya yang sebenar-sebenar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh) dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

16)  Mereka meregangkan diri daripada tempat tidur(sedikit sangat tidur kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan ama-amal soleh). Mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperoleh lagi (keredhaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.

17)   Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka kerjakan.

18)  (jika demikian halnya) Maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).

19)  Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka beroleh syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka kerjakan.

20)  Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; setiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya serta dikatan kepada mereka: “Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu.”

21)  Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak) supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

22)  Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); Sesungguhnya Kami tetap membalas.

23)  Dan demi sesungguhnya ! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad) maka janganlah Engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya, dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah petunjuk bagi kaum Bani Israel.

24)  Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama kami, selama mana mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami.

25)  (Pertentangan antara satu golongan dengan yang lain itu) Sesungguhnya Tuhanmu sajalah yang akan memutuskan hukumnya antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

26)  Dan belumkah lagi nyata kepada mereka (yang kafir itu) bahawa Kami telah binasakan berapa banyak kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal merea sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk diambil iktibar). Oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?

27)  Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanam-tanaman yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semua itu supaya taat dan bersyukur)?

28)  Dan mereka bertanya: “Bilakah datang hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?”

29)  Katakanlah (wahai Muhammad): “(tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) Pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian).”

30)  Oleh itu, janganlah Engkau hiraukan mereka, dan tunggulah (kesudahan mereka), sesungguhnya  mereka pun menunggu (kesudahanmu).



VirtualAqua



" Maka nikmat TuhanMu yang manakah yang kamu dustakan? "

No comments:

Post a Comment

dah bace ? komen laa sepatah dua.. banyak2 patah pun takpe.. ^-^